v!oLet

v!oLet

Thursday, July 28, 2011

MENUDUH ORANG DENGAN SUMPAH LAKNAT

1. Menuduh orang lain dengan suatu tuduhan perlulah mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat. Kerana ia boleh memberikan implikasi yang besar kepada yang dituduh. Bahkan keluarga dan maruah yang dituduh akan tercalar. Sebab itulah Islam membezakan di antara hukum menuduh seseorang melakukan zina dikenakan had qazaf, dengan hukum menuduh seseorang telah kufur tanpa dikenakan sebarang hukuman had.

2. Sumpah dalam bahasa Arab disebut al-yamin, al-halaf atau al-qasamyang bermaksud komitmen. Ia juga membawa arti komitmen terhadap sesuatu hukum dengan menyebut nama Allah yang Maha Agung. Ia tidak disyaratkan untuk memegang al-Quran ketika melakukan sumpah. Tetapi ia mestilah dengan menyebut nama Allah sama ada wallahi, wabillahi atauwatallahi. Tidak boleh menggunakan selain nama Allah atau sifat-sifatNya. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al-Maidah ayat 106:


Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah kamu tahan mereka selepas selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (demi Allah).

3. Terdapat hadith yang menunjukkan bahawa nabi SAW bersumpah dengan sifat-sifat Allah seperti ‘Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya’. Namun nabi SAW melarang seseorang bersumpah dengan selain daripada Allah SWT. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:

Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT melarang kamu daripada bersumpah dengan ayah-ayah kamu, barangsiapa yang ingin bersumpah maka
hendaklah bersumpah dengan Allah, atau hendaklah diam. (Riwayat Muslim)

4. Terdapat pelbagai hukum tentang bersumpah ini. Para ulama’ mazhab Hanafi dan Maliki menyatakan bahawa hukumnya harus, tetapi jika terlalu banyak bersumpah maka ia dicela. Manakala ulama’ mazhab Shafie pula menyebut bahawa asal hukum bersumpah adalah makruh kecuali dalam perkara ketaatan, pendakwaan di hadapan hakim dan keperluan agama. Selain itu, nabi SAW menjelaskan kepada kita terdapat juga sumpahghamus, diriwayatkan daripada Abddullah bin ‘Amru RA bahawa nabi SAW bersabda:

Dosa besar itu ialah syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh orang dan sumpah ghamus. (Riwayat al-Bukhari)

Ia disebut sebagai ghamus maknanya tenggelam kerana dengannya seseorang akan tenggelam di dalam neraka. Imam al-Kasani (587H) menyatakan:

Adapun hukum bersumpah dengan Allah SWT berbeza-beza mengikut jenis sumpahnya. Sumpah ghamus hukumnya wajib kaffarah dengan bertaubat dan istighfar kerana ia sangat berani. (al-Kasani, Bada’i al-Sana’i)

5. Laknat pula berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud jauh daripada rahmat Allah SWT. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyebut perkataan laknat, dan kesimpulannya hanya Allah Azza wa Jalla yang berhak untuk melaknat seseorang atau kaum yang melakukan kezaliman, pendustaan, kekufuran dan kerosakan. Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 44:

Dan (apabila ahli-ahli syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kami kepada kami, semuanya benar. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh tuhan kamu itu semuanya benar?. Mereka menjawab: Benar ada. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua kumpulan itu) menyatakan: Bahawa laknat Allah menimpa ke atas orang-orang yang zalim.

6. Telah berlaku di Malaysia pada minggu lepas, individu bersumpah laknat sambil memegang al-Qur’an di dalam sebuah masjid, dengan tujuan menuduh seseorang yang lain. Persoalannya ialah adakah wujud sumpah laknat dalam Islam? Dan bolehkah menuduh orang lain dengan bersumpah?. Bagi persoalan ini, asasnya adalah sebagaimana yang dinyatakan di atas. Kemudian kita perlu memahami pula bahawa sumpah yang diiringi dengan laknat hanya berlaku dalam dua keadaan sahaja, iaitu sama ada li’an di antara suami isteri atau yang kedua ialah mubahalah. Yang lebih penting untuk diperhatikan ialah kedua-keduanya perlu dilakukan di antara dua belah pihak yang perlu hadir bukannya seorang sahaja.

7. Li’an berlaku jika seorang suami ingin menuduh isterinya melakukan zina. Asal dalam tuduhan zina ialah penuduh mesti mendatangkan empat orang saksi dengan syarat-syarat tertentu. Ini salah satu kaedah mensabitkan kesalahan zina selain daripada iqrar (pengakuan) dan qarinahli’an, iaitu sumpah sebanyak empat kali dan yang kelima adalah sumpah dengan laknat. Tiada suami yang sengaja menuduh isterinya melakukan zina secara bermain-main melainkan ia serius, kerana kesannya adalah perpisahan. Firman Allah Azza wa Jalla dalam surah al- (bukti iringan). Oleh kerana mendatangkan empat orang saksi bagi seorang suami adalah sukar maka Islam memberi kelonggaran (rujuk asbab al-nuzul) dengan menggantikannya dengan hukum Nur ayat 6-9:

Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah empat kali: bahawa sesungguhnya dia daripada orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia daripada orang-orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa daripada isteri (yang dituduh) itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah empat kali: bahawa sesungguhnya suaminya (yang menuduh) itu adalah daripada orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika suaminya daripada orang-orang yang benar.

8. Manakala Mubahalah, ia pernah berlaku pada zaman nabi SAW. Baginda SAW mengajak penganut nasrani daripada Najran supaya melakukan mubahalah, ia berkaitan dengan nabi Isa. Pada awalnya kaum nasrani Najran bersetuju, tetapi akhirnya menarik diri dan bersetuju membayar jizyah. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 61:

Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (nabi Isa), sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah, supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.

9. Imam al-Qurtubi (671H) ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan:

Dan demikian itu, nabi SAW datang bersama-sama Hasan, Husin dan Fatimah berjalan di belakangnya, dan Ali di belakang Fatimah, baginda berkata: Jika aku berdoa maka hendaklah kamu beriman. Ia adalah makna bagi ayat ‘dan marilah kita bermubahalah’ iaitu bersungguh-sungguh berdoa. Daripada Ibn ‘Abbas, Abu Ubaidah dan al-Kasa’ie: marilah kita melaknat. Dan asal bagi ibtihal (mubahalah) ialah bersungguh-sungguh dalam berdoa dengan laknat atau selainnya. (al-Qurtubi, Jami’ li Ahkam al-Qur’an)

10. Adapun menuduh orang lain melakukan zina maka hendaklah denganbaiyinah (bukti). Baiyinah ini berbeza-beza mengikut konteks, jika dalam hal luqatah (barang yang tercicir) seseorang yang mendakwa ia kepunyaannya, maka baiyinah dengan menyebut sifat-sifat barang tersebut, manakala dalam konteks ini maka empat orang saksi menjadi baiyinah. Adapun bagi yang dituduh, jika ingin menolok tuduhan maka hendaklah bersumpah. Inilah kaedah yang diajar oleh nabi SAW, diriwayatkan bahawa nabi bersabda:

Baiyinah (bukti) bagi yang menuduh dan yamin (sumpah) bagi yang ingkar (dituduh).

11. Terdapat riwayat yang menyatakan bahawa nabi pernah meminta kepada seorang yang menuduh untuk melakukan sumpah bukannya denganbaiyinah sebagaimana kaedah umum di atas. Seorang sahabat nabi SAW telah dibunuh oleh seorang Yahudi, maka saudara mangsa membuat tuduhan tetapi tiada sebarang bukti, maka nabi SAW memintanya bersumpah. Dalam hal ini ia berkaitan dengan tindakan nabi SAW sebagai seorang qadhi atau hakim. Oleh itu kalaupun diterima bahawa seorang penuduh atau pendakwa boleh bersumpah maka ia mestilah dengan arahan qadhi atau hakim di dalam mahkamah, kerana konteksnya berbeza. Ini berdasarkan kepada kaedah pembahagian tindakan nabi SAW kepada tiga, iaitu sama ada sebagai ketua negara, hakim atau rasul.

Oleh itu, perlu diperhalusi sesuatu konteks sebelum kita membuat kesimpulan umum bagi sesuatu perkara. Inilah yang dinyatakan oleh Abu al-Khatab berkaitan dengan sumpah, katanya:

Bersumpah itu disyariatkan pada semua hak melainkan sembilan perkara; iaitu nikah, rujuk, talak, hamba, al-wala’, al-istilad, keturunan, qazaf dan qisas.

12. Jelas bahawa Islam adalah agama yang menjaga maruah manusia dan sangat tegas mempertahankannya. Oleh sebab itu, jika penuduh gagal mendatangkan empat orang saksi maka secara automatik ia telah menjadiqazaf (melempar tuduhan). Walaupun yang dituduh adalah lelaki tetapi ia diqiaskan kepada wanita sebagaimana dalam ayat, maka hukumnya sama. Pada waktu ini penuduh yang bakal dikenakan hukuman sebat, bukannya yang dituduh. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 4:

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

13. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Hilal bin Umaiyah menuduh (qazaf) ke atas Syarik bin al-Sahmaa’ lalu dibawa berjumpa nabi SAW, baginda bersabda:

Empat orang saksi, jika tidak belakangmu akan disebat. (Riwayat al-Nasa’ie)

Dalam hal ini Ibn Qudamah al-Hanbali (620H) menegaskan:

Jika tidak cukup bilangan saksi bagi tuduhan zina, maka ke atas mereka (pendakwa) hukuman sebat menurut pendapat kebanyakan para ilmuan. (Ibn Qudamah, al-Mughni)

Kesimpulannya

1. Menuduh orang lain hendaklah dengan bukti bukannya dengan cara bersumpah, jauh sekali dengan sumpah laknat.
2. Hendaklah mengikut tatacara dan prosedur sumpah yang disyariatkan.
3. Hukuman had qazaf adalah sangat berat.

No comments:

Post a Comment